Isnin, 19 Mei 2014

PANTUN

PANTUN PERPISAHAN


Pucuk pauh selara pauh
Sembilu ledung ledungkan
Adik jauh kekanda jauh
Kalau rindu sama menungkan

Pucuk pauh selara pauh
Pucuk terjuntai di atas titi
Adik jauh kekanda jauh
Menaruh rindu di dalam hati

Patah pasak dalam kemudi
Patah diruang bunga kiambang
Kalaulah tidak bertemu lagi
Bulan yang terang sama dipandang

Batang selasih permainan budak
Berdaun sehelai dimakan kuda
Bercerai kasih bertalak tidak
Seribu tahun kembali juga

Batang selasih permainan budak
Tumbuhnya jarang tepi telaga
Bercerai kasih bukan kehendak
Paksaan orang dituruti juga

Sayang Semarang Gunung Merapi
Anak gelama dituba jangan
Tidak dilarang adik berlaki
Janji yang lama dilupa jangan

Ikan sepat dimasak berlada
Kuah cencaluk jadi bumbunya
Kalau tak dapat dimasa muda
Akan kutunggu sampai menjanda

Harum sungguh bunga melati
Kembang setangkai diwaktu pagi
Hancur sungguh rasa dihati
Sedang berkasih ditinggal pergi

Jauh berdagang ditengah kota
Menjual dagangan pelbagai benda
Abang pergi mencari harta
Buat meminang akan adinda

Kalau ada sumur diladang
Boleh saya menumpang mandi
Kalau ada umur yang panjang
Boleh kita berjumpa lagi

Anak tani mengutip lokan
Lokan dikutip untuk dimakan
Sayang anak tangan-tangankan
Sayang isteri tinggal-tinggalkan

Pulau Sipadan pulau Ligitan
Tempat singgah raja Bulungan
Risau dibadan galau ingatan
Ingat pungguk rindukan bulan

Serapah disembur mengubat gatal
Tok bomoh membaca jampi
Sebelum tidur ditepuk bantal
Menyeru nama dalam mimpi

Berjalan di malam kelam
Baiklah kiranya berteman
Kenapa pungguk rindukan bulan
Bunga banyak kembang ditaman

Hilir rakit berkajang kain
Dimana teluk singgah bertimba
Niatku tidak pada yang lain
Adinda seorang tiadalah dua

Berinai orang berhitam kuku
Mandi disiram si air mawar
Tuan seorang biji mataku
Racun diminum jadi penawar

Leher merah itu helang
Terbangnya tangkas perangai garang
Jangan dinda berhati walang
Kasih kanda padamu seorang

Bunga lada tingginya sama
Ambil setangkup bunga melati
Kanda berjanji terlalu lama
Manalah sanggup dinda menanti

Ambil setangkup bunga melati
Hiasan rambut puteri jelita
Kenapa dinda tak sanggup menanti
Mana perginya janji setia

Kayu mempoyan kulitnya manis
Patah galah dalam paya
Laku perempuan mulutnya manis
Cakap sepatah jangan percaya

Kerisi, Cencaru, siikan Parang
Ikan Belut siikan gerut
Tidak sangka orangnya curang
Lain dimulut lain diperut


Kerana budi Jasad Tertawan
Kain buruk jatuh di papan
Patah terkulai dahan meranti
Biarlah buruk rupamu tuan
Asal pandai mengambil hati.

Kerana Budi Jasad Tertawan
Tengah padang pasang pelita
Anyam ketupat bulan puasa
Bukan nak pandang cantiknya rupa
Hati terpikat budi bahasa.

Kalaulah jadi pergi keladang
Kain panjang cari dahulu
Kalaulah jadi pergi berdagang
Induklah semang cari dahulu
 
 
Petikan Asli daripada : http://aliashamzah2095.blogspot.com/p/pantun-perpisahan.html

Simpulan Bahasa

SIMPULAN BAHASA

Simpulan Bahasa adalah salah satu daripada jenis peribahasa. Simpulan Bahasa merupakan jenis peribahasa yang paling mudah dan ringkas. Biasanya simpulan bahasa terdiri daripada dua patah kata seperti ada hati, batu api, cepat tangan, dan sebagainya.

SIMPULAN BAHASA, MAKSUD DAN CONTOH AYAT.
1. ada hati
   Maksud : ada keinginan yang melebihi kesanggupan.
   Ayat​      : Jamal ada hati hendak meminang anak hartawan itu.

2. akal kancil
   Maksud : tipu daya yang licin
   Ayat      : Peniaga itu mempunyai akal kancil untuk mendapat keuntungan yang banyak.

3. alas perut
   Maksud : makan sedikit untuk sementara waktu
   Ayat      : Amran makan sekeping roti sebagai alas perut.

4. alim-alim kucing
   Maksud : seorang yang berpura-pura baik dari segi tingkah laku dan peraturan.
   Ayat      : Jamal bersikap alim-alim kucing di depan ibu bapanya.

5. anak angkat
   Maksud : anak orang lain yang dipelihara seperti anak sendiri
   Ayat      : Amin adalah anak angkat Pak Cik Rahman.
 
6. anak bongsu
   Maksud : anak yang paling muda dalam keluarga
   Ayat      : Lai Meng anak bongsu Encik Wong.

7. anak emas
   Maksud : orang yang dikasihi oleh ibu bapanya atau majikannya.
   Ayat      : Sofea pekerja yang rajin. Tidak hairanlah saya jika ia menjadi anak emas Tuan Adnan.

8. anak kandung
   Maksud : anak sendiri
   Ayat      : Harlina anak kandung Encik Osman dan Puan Faridah.

9. angkat bakul
   Maksud : orang yang suka memuji atau meninggikan diri.
   Ayat      : Puan Aisyah sering angkat bakul apabila bercerita tentang dirinya.

10. atas angin
     Maksud : Negara-negara barat
     Ayat      : Negara kita pernah dijajah oleh negara-negara atas angin.

11. banyak mulut
     Maksud : orang yang suka bercakap
     Ayat      : Sikap Mona yang banyak mulut itu tidak disenangi oleh rakan sekelasnya.

 12. batu api
     Maksud : penghasut
     Ayat      : Mereka sudah berbaik-baik. Janganlah kamu menjadi batu api pula.

13. batu loncatan
     Maksud : sesuatu yang digunakan untuk mencapai sesuatu tujuan
     Ayat      : Diterimanya tawaran kerja sementara itu sebagai batu loncatan untuk memperoleh pekerjaan yang lebih baik kelak.

14. bekas tangan
     Maksud : hasil kerja tangan seseorang
     Ayat      : Pasu bunga ini adalah bekas tangan Clementina.

15. bergadai nyawa
     Maksud : sanggup membahayakan diri sendiri demi mencapai sesuatu
     Ayat      : Ahli bomba itu sanggup bergadai nyawa untuk menyelamatkan mangsa ​kebakaran.

16. buah mulut
     Maksud : perkara yang menjadi sebut-sebutan
     Ayat      : Berita tentang Murad membawa gadis Inggeris pulang telah membawa buah ​mulut seluruh kampung.

17. buah tangan
     Maksud : pemberian
     Ayat      : Setiap kali ke luar negeri, ayah pasti membawa buah tangan untuk kami.

 18. bulat kata
     Maksud : sepakat, sehati
     Ayat      : Penduduk kampung ini sudah bulat kata untuk bergotong royong membersihkan kawasan kampung pada minggu depan.

19. durian runtuh
     Maksud : mendapat keuntungan dengan tidak disangka-sangka atau tanpa bersusah payah.
     Ayat      : Wanita itu mendapat durian runtuh apabila membeli-belah di pasar raya itu.

20. gaji buta
     Maksud : gaji yang diterima dengan tidak bekerja sungguh-sungguh
     Ayat      : Buruh itu lebih banyak berehat daripada bekerja. Dia makan gaji buta.

21. ikat perut
     Maksud : mengurangkan makan kerana susah
     Ayat      : Manisah terpaksa ikat perut di sekolah kerana ayahnya tidak mampu ​memberikan wang saku kepadanya.

22. iri hati
    Maksud : perasaan cemburu
     Ayat      : Perempuan itu iri hati melihat jirannya membeli perabot baru.

23. jalan buntu
     Maksud : tidak mendapat kata sepakat
     Ayat      : Mesyuarat itu terpaksa diberhentikan kerana menemui jalan buntu.
 
24. keras kepala
     Maksud : tidak mahu mengalah
     Ayat      : Lebih baik kamu beralah daripada terus bertengkar dengannya. Dia itu keras kepala.

25. khabar angin
     Maksud : khabar yang belum sah kebenarannya.
     Ayat      : Sejak dia menghilangkan diri dari kampung, berbagai-bagai khabar angin tersebar tentang dirinya.

26. langkah kanan
     Maksud : mujur atau bernasib baik
     Ayat      : Hari ini langkah saya langkah kanan kerana dapat bertemu dengan pengarang terkenal di pesta buku itu.

27. langkah seribu
     Maksud : melarikan diri secepat-cepatnya kerana takut
     Ayat      : Budak yang menghendap di dusun itu membuka langkah seribu apabila disergah oleh ayah saya.

28. mandi peluh
     Maksud : basah dengan peluh
     Ayat      : Setiap hari Pak Cik Salim bermandi peluh mengusahakan kebun sayurnya.

29. mata duitan
     Maksud : orang yang mementingkan wang saja
     Ayat      : Jangan jadi mata duitan kerana kekayaan saja tidak dapat menjamin kebahagiaan.

30. pilih kasih
     Maksud : melebihkan pertimbangan kepada orang yang dikasihi
     Ayat      : Majikan itu pilih kasih dalam memberikan pangkat kepada pekerja-pekerjanya.

31. rambang mata
     Maksud : sukar untuk membuat pilihan
     Ayat      : Ibu rambang mata apabila masuk ke kedai pakaian itu.

32. ringan tangan
     Maksud : suka menolong orang
     Ayat      : Kalau kita ringan tangan, semua orang akan menyayangi kita.

33. ringan tulang
     Maksud : rajin bekerja
     Ayat      : Kawasan rumah Encik Simon selalu bersih kerana tukang kebunnya ringan tulang.

34. sampai hajat
     Maksud : berjaya mencapai apa yang dihajati
     Ayat      : Akhirnya sampai hajat nenek hendak ke Makkah.

35. saudara baru
     Maksud : orang yang baru memeluk agama Islam
     Ayat      : Vincent telah menjadi saudara baru sejak bulan lepas lagi.
 
36. senyum kambing
     Maksud : senyum mengejek
     Ayat      : Pemuda itu tersenyum kambing melihat cara gadis itu berpakaian.

37. tanda mata
     Maksud : hadiah kenang-kenangan
     Ayat      : Dania memberikan sehelai selendang kepada Lina sebagai tanda mata.

38. tangan terbuka
     Maksud : suka menolong orang yang dalam kesusahan
     Ayat      : Keluarga Hasnan menerima kedatangan anak yatim itu dengan tangan terbuka.

39. tangkai jering
     Maksud : orang yang kedekut
     Ayat      : Sia-sia saja kamu meminta derma daripada dia kerana dia tangkai jering.

40. ulat buku
     Maksud : orang yang tekun membaca
     Ayat      : Maniam gemar membaca buku sehingga rakan-rakannya menggelarkan dirinya ulat buku.

Petikan daripada :  http://wannorhayati70-simpulanbahasa.blogspot.com/2011/11/peribahasa.html

Peribahasa

Senarai Peribahasa 
  
1. Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat
Maksud : Kata sepakat yang dicapai dalam mesyuarat.

2. Darah daging
Maksud : Anak dan saudara-mara daripada keturunan sendiri.

3. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing
Maksud : mengalami susah senang bersama-sama.

4. meninggi diri
Maksud : Sombong

5. bermuka dua
Maksud : Tidak jujur.

6 baik hati
Maksud : Bersikap baik dan penyayang (suka menolong).

7. tulang belakang
Maksud : Punca kekuatan/ orang harapan

8. bara yang digenggam biar sampai jadi arang
Maksud : Mengerjakan sesuatu yang sukar hendaklah sabar, sehingga mencapai kejayaan.

9. bagai kaca terhempas ke batu
Maksud : Sangat sedih atau kecewa.

10. melentur buluh biarlah dari rebungnya
Maksud : Mendidik anak biarlah sejak mereka kecil lagi.

11. duduk sama rendah, berdiri sama tinggi
Maksud : dua orang atau pihak yang sama darjat dalam adat

12. seperti lembu dicucuk hidung
Maksud : Orang yang selalu menurut kemahuan orang

13. yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing
Maksud : Bersama-sama menghadapi atau mengerjakan sesuatu.

14. dayung sudah di tangan, perahu sudah di air
Maksud : segala-gala yang dikehendaki sudah diperoleh.

15. terang hati
Maksud : Lekas pandai.

16. rendah hati
Maksud : Tidak sombong

17. murah hati
Maksud : Pemurah.

18. tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas
Maksud : Adat yang tidak berubah; sesuatu yang tetap utuh.

19. Tangan kosong
Maksud : Hampa.
 



Senarai Peribahasa 



1. lintah darat
Maksud : Peniaga yang mengambil keuntungan yang terlalu tinggi.

2. bagai aur dengan tebing
Maksud : Hubungan yang rapat antara sama sama yang lain dan saling membantu.

3. anak dagang
Maksud : Orang luar yang datang menetap di sesuatu tempat

4. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri
Maksud : Walau bagaimanapun kelebihan di negara orang, tetap negeri sendiri lebih baik lagi.

5. kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai
Maksud : Kalau takut berhadapan dengan penderitaan , lebih baik jangan melakukan sesuatu yang susah


6. indah khabar daripada rupa
Maksud : Perkhabaran tentang sesuatu perkara yang dilebih-lebihkan.

7. hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah
Maksud : Pengagihan yang sama banyak.

8. bukit sama didaki, lurah sama dituruni
Maksud : Perhubungan yang sangat akrab, senang susah bersama.

9. kacang lupakan kulit
Maksud : Orang yang melupakan asalnya atau orang yang pernah menolongnya setelah mendapat kesenangan.

10. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung
Maksud : Menurut adat atau peraturan di tempat yang kita diami atau tinggal.

11. masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak
Maksud : Menyesuaikan diri dengan tempat dan keadaan

12. ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua
Maksud : kesilapan yang dilakukan oleh seseorang menyebabkan orang lain yang menerima akibatnya..

13. memerah otak
Maksud : Berfikir dengan bersungguh-sungguh.

14. kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya
Maksud : Tak akan tercapai maksudnya kalau tak mahu berusaha dan bersusah payah

15. berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian
Maksud : Bersusah payah terlebih dahulu untuk mendapatkan kesenangan pada kemudian hari.

16. yang bulat tidak datang menggolek, yang pipih tidak datang melayang
Maksud : Sesuatu benda tidak akan datang tanpa usaha

17. sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit
Maksud : Sabar mengerjakan sesuatu lama-lama berhasil juga.

18. bak cendawan tumbuh selepas hujan
Maksud : Terlalu banyak pada sesuatu masa.

19. bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.
Maksud : Kata sepakat yang dicapai dalam mesyuarat.

20. yang kita kejar tak dapat, yang kita kendong pula berciciran
Maksud : Bernasib malang kerana setelah memperoleh sesuatu, tetapi yang sudah di tangan hilang pula.

21. mencari jalan
Maksud : Berikhtiar menyelesaikan sesuatu perkara.

22. biar mati anak, jangan mati adat
Maksud : orang yang kuat perpegang pada adat.

23.sediakan payung sebelum hujan
Maksud : Berjaga-jaga dulu sebelum mendapat sesuatu bencana.

24. berbesar hati
Maksud : Gembira.

25. anak buah
Maksud : a. Anak saudara. b. Pekerja di bawah jagaan kita.

26. tuan rumah
Maksud : tempat berlangsungnya sesuatu acara

27. yang lama dikelek, yang baharu didukung
Maksud : Adat yang lama tetap diamalkan di samping budaya hidup yang baharu.

28. batu penghalang
Maksud : Halangan

29 untung anak lelaki cari-carikan, untung anak perempuan nanti-nantikan
Maksud : orang lelaki yang merisik bakal isterinya.

30. bagai ikan pulang ke lubuk
Maksud : a. Orang yang pulang ke tempat asal. b. Kehidupan yang senang.

Selasa, 14 Mei 2013

Update...Blog...

Sekian lama tidak update blog....apapun di bawah terdapat beberapa pengumuman...

PKSR SEMESTER 1/2013 untuk pelajar SKSBU..Sila buat ulang kaji yang secukupnya untuk mendapat keputusan yang cemerlang...

Tarikh Peperiksaan: 15-23 Mei 2013 (sila rujuk edaran jadual)

SELAMAT BERJAYA......

Rabu, 30 Mac 2011

Contoh Surat Rasmi

Setiausaha Persatuan Reka Cipta
SK Taman Bunga Raya, Jalan Nirwana 4,
45200 Kajang, Selangor Darul Ehsan.
________________________________________________________________

Guru Besar
SK Taman Bunga Raya,
Jalan Nirwana 4, 45200 Kajang,
SELANGOR DARUL EHSAN. 16 APRIL 2010

Tuan/Puan,

MEMOHON KEBENARAN MENGGUNAKAN BILIK SENI

Merujuk kepada perkara di atas, Persatuan Reka Cipta SK Taman Bunga Raya ingin memohon kebenaran tuan untuk menggunakan Bilik Seni bagi mengadakan aktiviti persatuan iaitu membuat dan merekacipta robot.

2. Untuk pengetahuan tuan, kami akan menggunakan bilik tersebut dalam tempoh 3 hari iaitu pada 23, 24 dan 35 hb Mei 2010. Objektif kami mengadakan aktiviti ini ialah untuk mencungkil bakat pelajar dalam merekacipta robot dengan menggunakan bahan buangan.

3. Seramai 50 orang murid akan menggunakan bilik ini dengan diiringi oleh guru penasihat iaitu Puan Nursufi dan Puan Nur Zahra. Kami berjanji akan menjaga kebersihan dan barangan di dalam bilik seni sebaik mungkin.

4. Besarlah harapan kami agar tuan dapat member keizinan menggunakan tersebut. Segala kerjasama dan keperihatinan tuan saya dahului dengan ucapan ribuan terima kasih.

Sekian Yang Benar,

………………………………….
(MUHD HAKIM BIN NAZRIN)
Setiausaha Persatuan Reka Cipta

Sajak

1 Malaysia Perangi Dadah

Aku, dia dan kamu…..
Kita semua adalah sama
Punya cinta, punya jiwa dan punya rasa
Kita bangsa nan mulia....
Generasi waja membina negara bangsa.....
Negara tercinta ......negara perkasa
Kita adalah rakyat Malaysia...dan kita 1 Malaysia

Duhai teman-temanku,
Terdetikkah di minda kita , ada di luar sana.......
Ada tangan yang menggapai-gapai
Ada tangan yang melambai-lambai
Ada tangan yang memohon simpati
Rupanya ada insan yang tersasar langkah..........
Terjerumus nista ke lembah hitam
Lalu melakar epilog duka,
Hanya kerana serbuk putih nan durjana......

Wahai sahabat-sahabatku...
Pernahkah kita mendengar ungkapan ini....
Serbuk putih, jarum suntik, pil khayal malahan pil kuda...
Pelbagai nama dan jolokan yang diberi
Hinggakan kuda terseret ke kancah ini
Kuda pula yang kehilangan maruahnya.......
Oh...betapa sengalnya mereka hingga kuda menjadi mangsa....




Duhai sahabat..duhai temanku...
Dengarlah kita 1 Malaysia
Ingatlah! Sedarlah! Fikirlah!
Semua itu keseronokan semata..kosong...bohong..... tiada apa yang tinggal.
Malah Ia bisa membinasa, bisa memusnah,bisa merosak
Malah bisa menghancur segala apa yang ada,
Yang nyata.....
Si ibu bakal kehilangan anak, anak kecil bakal kehilangan orang tuanya.....
Para majikan bakal kehilangan pekerja,
Nah!...negara bakal kehilangan harta dan generasi berkualiti...

Ayuh sahabatku....
Ingatlah dadah itu adalah musuh!
Dadah itu panggilan maut, mampu menyedutmu hingga tinggal tulang semata!
Bagai rangka bernyawa, terhuyung-hayang bagai lalang nan bergoyang,
Bagai bangkai tapi berjiwa...namun tidak sesekali memberi kebaikan...

Marilah kita semua..........
Kita 1 Malaysia....................
Berganding tangan menggenggam janji
Berdiri teguh, kukuhkan benteng
Perangilah ia....perangi ia hingga ke hujung nyawa

Oleh itu...teman-temanku...kita 1 Malaysia
Bijaklah bertindak...bijaklah berfikir dan bijaklah memilih.....
Agar tidak terjerat seumur usia dengan panahan sengsara dadah durjana...

Sekian terima kasih.

Karangan

Cara-Cara Menjaga Kebersihan Kantin
1. Mematuhi setiap peraturan yang ditetapkan- contohnya beratur ketika membeli makanan bagi mengelakkan makanan tumpah dan sebagainya.
2. Meletakkan pinggan dan mangkuk yang telah digunakan ke dalam besen/tempat yang disediakan bagi menjimatkan tenaga kerja membersihkan kawasan kantin.
3. Membawa bekas makanan sendiri untuk membeli makanan untuk mengelakkan penggunaan polisterin, pembungkus ataupun plastik.
4. Menyediakan tong sampah yang mencukupi bagi kemudahan membuang sampah.
5. Mengarahkan pengawas kantin bertugas dengan penuh tanggungjawab * Huraikan isi-isi penting di atas dalam penulisan karangan anda.